ARTIKEL SEBELUM

13/07/13

Rumah 'durian runtuh' untuk penduduk Kuala Besut

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengambil kesempatan berkempen pada hari kedua pilihan raya kecil DUN Kuala Besut apabila merasmi majlis pecah tanah untuk pembinaan Pangsapuri Mampu Milik 4 Tingkat di Kampung Tok Saboh, Kuala Besut.

Pangsapuri yang bernilai RM 10.35 juta itu mempunyai 72 unit rumah tiga bilik.

Perumahan itu disediakan khususnya kepada penduduk di Pengkalan Atap, Besut yang dilanda di air pasang besar menyebabkan hakisan pantai dan membahayakan keselamatan mereka memandangkan ombaknya melepasi atap rumah.

Muhyiddin dalam ucapan perasmian itu menganggap pembinaan yang dibuat oleh kerajaan Terengganu sebagai 'durian runtuh' apabila memetik ucapan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said sebelum itu yang menyatakan pangsapuri itu "mungkin diberi percuma", memandangkan mangsa tidak berkemampuan untuk memiliki dan membayarnya.

"Ini agak istimewa, kumpulan yang terpaksa dipindahkan dari tepi laut dilambung ombak besar dan berlaku hakisan... Ini satu durian runtuh dan kita perlu mengucap syukur kepada Allah SWT.

"Ini inisiatif yang dilaksanakan. Dasar kita tidak membeza-bezakan orang miskin. Kita tidak abaikan orang susah, yang tidak terbela. Itu bukan dasar BN.

"Kalau ada pihak atau kumpulan tertentu kata dasar BN tidak selaras dengan kita nak cabar kerana, (dasar) perumahan adalah tuntutan agama, kerja amal dan diiktiraf oleh Islam," katanya.

Menurutnya lagi, soal kebajikan rakyat yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak bercanggah dengan Islam, malah Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mempertikaikan kerja-kerja amal yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Sebelum itu, Ahmad Said dalam ucapannnya berkata kerajaan negeri memutuskan untuk memindahkan penduduk ke kawasan tersebut yang merupakan tanah kerajaan, malah, rakan-rakan mereka yang tidak mempunyai rumah juga akan ditempatkan di kawasan ini.

"Mereka ini miskin, kita tidak jual kepada mereka. Tuan-tuan boleh faham maksud ayat itu. Mereka mungkin tinggal percuma di rumah ini," katanya

Menurutnya lagi, 500 unit rumah lagi akan dibina di Kuala Besut dan menafikan majlis itu dibuat kerana pilihan raya kecil itu, sebalik ia telah dijadual lebih awal sewaktu bekas ADUN dan exco Datuk A Rahman Mokhtar masih hidup.- mkini

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud