ARTIKEL SEBELUM

27/06/13

Petisyen: BN mohon tafsiran Mahkamah Persekutuan

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) akan memohon interpretasi Mahkamah Persekutuan berhubung Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan untuk memudahkan permohonannya dalam petisyen pilihan raya bagi kawasan Parlimen Batu.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili calon BN Dr Dominic Lau Hoe Chai, memberitahu pemberita beliau akan turut membangkitkan bantahan awal berhubung status Tian Chua sementara menunggu keputusan permohonannya bagi mahkamah tertinggi itu untuk menginterpretasi Perkara berkenaan.

Perkara 48 menyatakan seseorang dibatalkan daripada menjadi anggota parlimen jika beliau disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman tidak kurang daripada penjara setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000.

Pada 2009, Mahkamah Majistret menjatuhi hukuman terhadap Chua Tian Chang, lebih dikenali sebagai Tian Chua, penjara enam bulan dan denda RM3,000 kerana mencederakan seorang anggota polis pada 2007.

Bagaimanapun, Anggota Parlimen daripada PKR itu berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi untuk mengurangkan denda daripada RM3,000 kepada RM2,000.

Lau dalam petisyen yang difailkan pada 11 Jun, mendakwa Tian Chua tidak berkelayakan untuk bertanding memandangkan beliau didenda RM2,000 dan pegawai pengurus pilihan raya gagal menolak kertas pencalonan Tian Chua.

Beliau mendakwa Mustafa Mohd Nor, selaku pegawai pengurus pilihan raya, telah melanggari Peraturan 7(1)(c) Peraturan-peraturan (Perjalanan Pilihan Raya) Peraturan 1981.

Beliau turut mendakwa Tian Chua telah mempamerkan bahan kempen sebelum kempen pilihan raya bermula.

Dalam pilihan raya lepas, Tian Chua mengalahkan Lau dengan majoriti 13,284 undi.

Dalam perkembangan berkaitan, Hakim Pilihan Raya Datuk Zabariah Mohd Yusoff menetapkan 9 Julai untuk lanjutan pengurusan kes bagi tiga lagi petisyen pilihan raya iaitu Setiawangsa, Titiwangsa dan Lembah Pantai. - Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud