ARTIKEL SEBELUM

18/09/12

Deklarasi Kuching Pakatan janji 7 perkara





Pakatan Rakyat (PR) melancarkan Perisytiharan Kuching tujuh perkara semalam, antara lain menegaskan semula bahawa royalti minyak bagi Sabah dan Sarawak akan dinaikkan daripada lima peratus kepada 20 peratus dan mengembalikan kuasa autonomi kepada kedua-dua negeri itu.

Ia dikeluarkan di Kuching - pada hari negara menyambut Hari Malaysia ke-49.Pemerhati dan penganalisis politik melihat ia dikeluarkan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).


Kesemua tujuh perkara yang disenaraikan ialah:

Kerjasama Bersekutu: Memulihara intipati Perjanjian Malaysia dan memperkasakan kedudukan Sarawak dan Sabah setanding dengan Semenanjung Malaysia dengan mengembalikan autonomi Sarawak dan Sabah mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan

Perwakilan Adil: Mempertingkatkan integrasi nasional di antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia melalui penggemblengan tenaga dan perkongsian kuasa secara adil yang menjunjung semangat Perjanjian Malaysia.

Kewarganegaraan: Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan masalah nasional berkaitan pendatang tanpa izin dan isu-isu kerakyatan, khususnya di Sarawak dan Sabah.

Pengiktirafan Hak Ke Atas Tanah Adat: Menghormati dan mengiktiraf hak anak watan ke atas tanah adat sepertimana yang tertakluk dan termaktub dalam Undang-undang Negeri Sarawak dan Sabah dengan menubuhkan Suruhanjaya Tanah untuk menyiasat, menyelesaikan pertikaian, memperbaharui, menyelidik dan memulihkan Hak Adat Peribumi ke atas pemilikan Tanah Adat.

Kecekapan dan Kemandiran Sarawak dan Sabah: Mengiktiraf pelantikan rakyat Sarawak dan Sabah untuk memimpin dan memegang jawatan di Jabatan Kerajaan di negeri masing-masing, dikuatkuasakan oleh setiausaha-setiausaha kerajaan kedua-dua negeri dan memberikan keutamaan kepada rakyat Sarawak dan Sabah di peringkat Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan tugas di negeri masing-masing.

Keadilan Dalam Isu Minyak: Menaikkan bayaran royalti ke atas petroleum dan sumber sumber hidrokarbon kepada Sarawak dan Sabah dari lima peratus ke 20 peratus

Pembangunan Sekata: Membawa tahap kemajuan infrastruktur di Sarawak dan Sabah setanding dengan perkembangan di Semenanjung Malaysia.

Mengikut kenyataan diperoleh, deklarasi itu ditandatangani oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian; Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng dan Pesuruhjaya Negeri PAS Sarawak, Adam Ahid

Dalam deklarasi itu, ketiga-tiga parti komponan tersebut berkata, PR akan melunaskan setiap ikrar jika membentuk kerajaan baru di peringkat pusat.

"Bahawasanya kami akan memelihara dan menjunjung setia dasar-dasar yang diterapkan dalam Buku Jingga supaya Malaysia bakal bangkit semula sebagai sebuah negara yang makmur, agar terwujud rakyatnya yang cemerlang, bersatu padu dan berkembang maju, dengan masa depan yang selamat dan aman damai, agar namanya harum di serata pelusuk dunia.

"Bahawa sesungguhnya kami berpegang teguh dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang telah dicetuskan dan dikendalikan oleh pemimpin-pemimpin kami yang terdahulu, dan sebagai bukti dan tanda utuhnya kesetiaan kami terhadap rakyat Sarawak dan Sabah, berteraskan prinsip-prinsip demokrasi dan keadilan untuk rakyat Malaysia seluruhnya," kata kenyataan deklarasi itu.-SH

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud