ARTIKEL SEBELUM

12/06/11

Tubuh Tribunal siasat Gani Patail- Mat Zain Ibrahim


KUALA LUMPUR: Satu tribunal khas perlu ditubuhkan bagi menyiasat penglibatan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail dalam skandal kerugian RM8 billion Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) melibatkan Tan Sri Tajuddin Ramli.

Gesaan itu dibuat bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Mat Zain Ibrahim dalam surat terbukanya yang terbaru kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Mat Zain merupakan pesara Pegawai Kanan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berpangkat Senior Asisten Kommisioner II (SAC II) dan menyiasat insiden “mata lebam’ Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu beliau ditahan polis dalam kes fitnah pertama pada tahun 1998.

Mat Zain membuat gesaan itu selepas Tan Sri Dr.Hadenan Abdul Jalil, Pengerusi Panel Penilai Operasi MACC (ORP) , mengisytiharkan Gani Patail ‘bersih’ daripada sebarang salah laku jenayah berkaitan pemergiannya menunaikan Haji di Mekah bersama-sama Shahidan Shafie, seorang proksi kepada Tajuddin Ramli.

“Apabila ia melibatkan isu kelakuan seorang Peguam Negara yang sedang berhidmat, pihak yang mempunyai kuasa atau hak mengadilinya hanyalah sebuah tribunal yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong setelah dinasihatkan Perdana Menteri, seperti yang sedia ada secara spesifiknya dalam Artikel 125 (3) dibaca bersama Artikel 145 (6) Perlembagaan,” kata Mat Zain.

Menurutnya lagi, Hadenan selaku Pengerusi ORP tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. Malah, ORP sendiri sedia maklum tentang perkara itu kerana mereka pernah membuat permohonan kepada Peguam Negara untuk meneliti kes VK Lingam.

“Persoalan sama ada Tan Sri Hadenan serta ahli-ahli jawatankuasanya berpuas hati atau sebaliknya berkaitan siasatan SPRM itu tidak timbul memandangkan beliau tidak ada kuasa untuk berbuat apa-apa sekalipun beliau tidak berpuas hati.

“Malah, Tan Sri Hadenan sendiri membuat kenyataan umum bahawa Operations Review Panel (ORP) tidak terlibat didalam sebarang proses penyiasatan SPRM memandangkan ORP bukan sebagai sebahagian organisasi SPRM melainkan sekadar mewakili orang ramai sahaja, seperti dilaporkan Bernama pada 12.11.2009.

“Beliau membuat kenyataan ini ketika mengesahkan akan menghantar permohonan ORP kepada Peguam Negara untuk mendapatkan kebenaran bertulis meneliti kes berkaitan V.K.Lingam,” kata Mat Zain.

Berhujah lebih lanjut, Mat Zain menyifatkan usaha Hadenan mengumumkan Gani Patail sudah ‘bersih’ daripada sebarang salah laku itu sebagai tidak lebih daripada eksesais “white-washing” yang tidak teratur dan sia-sia – bertujuan untuk menyelamatkan Gani Patail daripada dikenakan hukuman jenayah.

“Persoalannya ialah adakah wajar Gani Patail, seorang Peguam Negara yang masih berhidmat dilihat sebagai bersekongkol dengan Shahidan, seorang yang masih dalam siasatan serius oleh SPRM.

“Hasil siasatannya kelak, (akan) dipertimbangkan Jabatan Peguam Negara yang diketuai Gani Patail sendiri.

“Mampukah SPRM atau Jabatan Peguam Negara bertindak berkecuali serta memberikan pertimbangan yang adil dan saksama dalam kes ini sedangkan skandal ini melibatkan kerugian melebihi RM8 billion wang rakyat,” kata Mat Zain.

Dalam surat yang sama, Mat Zain turut menggesa siasatan dilakukan ke atas beberapa perjanjian berat sebelah jangka panjang yang dimeterai antara entiti korporat kroni kerajaan dengan pentadbiran pada masa itu yang melibatkan rakyat menanggung jerugian yang besar.

“Rakyat juga kini mendapat tahu bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB) dilaporkan menandatangani beberapa perjanjian/kontrak jangka panjang yang berat sebelah dengan beberapa Penjanakuasa Bebas (IPP), yang mengakibatkan rakyat menanggung kerugian lingkungan RM 20 Billion,” kata Mat Zain. -keadilandaily

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud